Monday, 4 August 2014

PRU 13 – DOA BUAT NIK AZIZ

            Segala pujian bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam, pujian yang melengkapi segala nikmatNya dan membalas limpah kurniaNya. Wahai Tuhan kami, bagi Mu segala pujian seperti yang selayaknya dengan kebesaran zat Mu dan keagongan Mu. Cucurilah rahmat Mu dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W berserta ahli keluarga dan sekelian sahabat a.s.
           
            Ya Allah wahai Tuhan kami dengan berkat kebenaran kitab Suci Al-Quran Al- Hakim dan dengan kebenaran orang-orang yang Dikau pilih dengan pangkat pemerintahannya dan pertunjukkan kepada jalan-jalan yang betul. Tuhan yang sedia mengetahui segala yang telah berlaku dan yang akan berlaku.
           
            Ya Allah Tuhan yang melepaskan segala kerungsingan. Kami mohon kepada Mu semoga Engkau arahkan kami kepada jalan-jalan keredhaan Mu. Menjadikan kami sebagai warga kebahagiaan dan kekayaan Mu untuk mencapai segala kebesaran dan kehebatan.
           
            Ya Allah wahai Tuhan kami semoga Engkau perbetulkanlah akidah Umat Islam di bumi bertuah ini. Hanya kepada Engkau kami mohon segala perlindungan dan pertolongan. Ampunkan kami, maafkan kami, kasihani kami agar negara tercinta ini kekal aman dan makmur.
           
            Ya Allah wahai Tuhan kami, berilah kesihatan terpuji kepada kami dan kepada orang-orang yang Engkau pilih untuk memimpin kami. Tunjukkanlah jalan-jalan yang Engkau redhai bukan jalan-jalan yang Engkau tidak kehendaki. Di antara hamba-hamba Mu yang Engkau pilih menjadi pemimpin kami siapakah yang patut kami taati. Di antara Najib dengan Anwar. Di antara Mahathir Mohamad dengan Nik Aziz Nik Mat. Siapakah yang patut kami patuhi pemerintahannya agar tidaklah Engkau murka akan kami dan melaknatkan hidup kami sebagaimana Engkau musnahkan kehidupan orang-orang sebelum kami. Engkau pupuskan kaum Nabi Nuh A.S. Engkau hapuskan kaum Nabi Lut A.S. Sesungguhnya kami takut ya Allah dengan kemurkaan Mu.
           
            Di antara 4 pemimpin kami yang disebutkan, yang Engkau berikan ilmu agama hanyalah tok guru kami Nik Aziz Nik Mat. Ajaran dan pandangannya kami hormati. Sepatutnya kami bersatu, disebaliknya kami berseteru.
           
            Ya Allah wahai Tuhan kami, Engkau berikanlah keinsafan dan kesedaran agar kami semua di pihak yang benar, bermaaf-maafan dan bersatu di dalam menghadapi segala ancaman musuh-musuh kami mahu pun tipu helah syaitan. Peliharalah kami daripada segala kejahatan dunia dan azab api neraka.
           
            Ya Allah wahai Tuhan kami, semua manusia tidak lepas daripada melakukan kejahatan dan kesilapan. Begitulah pemimpin kami yang kami kasihi. Ampunkanlah, maafkanlah dan kasihankanlah kami kerana kami semua adalah umat Rasulullah S.A.W dan menyembah hanya Engkau.
           
            Ya Allah wahai Tuhan kami, di dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 semoga Engkau pertunjukkanlah segala kebenaran dengan jelas dan nyata agar kami semua boleh bernaung di bawah Panji-Panji Islam, agama yang Engkau redhai. Engkau padamkanlah api kemarahan. Engkau hilangkanlah segala kebencian. Najib mendengar cakap Mahathir, Nik Aziz pula mendengar cakap Anwar. Siapakah yang bercakap benar?
           
            Ya Allah, kami benar-benar memohon agar Engkau buka pintu hati Nik Aziz sehingga dapat melihat sebenar-benar kebenaran kerana kunci perpaduan dan persengketaan bangsa Melayu di tangannya. Kata-kata nista dan cacian tidak keluar dari mulut seorang ulama pewaris Nabi S.A.W, apa lagi tohmahan berunsur fitnah, buruk sangka, dendam kesumat dan kebencian melampau sehingga hilang nikmatnya.
           
            Barang dicucuri Allah akan rahmat dan sejahtera jua atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian. Segala pujian bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam.

No comments:

Post a Comment